The Dark Knight Rises - Ulasan Filem

Kita biasa tengok Batman belasah penjenayah, ada jugak la Batman kena belasah kadang-kadang tapi tak teruk mana, dia boleh lawan balik. Tapi dalam filem terbaru ni Batman telah dibelasah amat teruk sampai tak boleh berjalan.

Ice Age 4 : Continental Drift - Ulasan Filem

Ice Age yang pertama, kita diperkenalkan kepada watak-watak utamanya iaitu Manny, Diego, Sid dan yang paling ramai penonton suka ialah Scrat (tupai yang obses dengan buah berangan tapi tak pernah langsung dapat makan buah tu).

Brave : Ulasan Filem

Filem animasi ni diambil daripada kisah fairy tale dari negara Scotland. Namun mesej pengajarannya amat memberi kesan kepada yang menontonnya. Teruskan membaca.

The Amazing Spider-Man : Ulasan Filem

Sekali lagi Marvel menerbitkan semula filem yang diadaptasi daripada watak ciptaan Stan Lee dan antara watak adiwira yang paling berjaya dan paling diminati iaitu Spider-Man. Cekitdaut!

Filem Filem Best 2012 : Julai - Disember

Dalam tahun 2012 sejak Januari kita dah banyak menonton filem-filem menarik di panggung. Jom pulak kita tengok apa lagi filem-filem yang dijangka menarik untuk kita tonton untuk separuh yang kedua tahun 2012 pulak ye.

Sabtu, 15 September 2012

Posted by peaqour On 1:23 PTG 0 comments

Legoland Malaysia... Syurga Kanak-Kanak


Saya berkesempatan mengunjungi ke taman tema bertaraf antarabangsa yang pertama di Malaysia; Legoland Malaysia dan ianya sememangnya amat dinanti-nantikan apatah lagi apabila mendapat tiket jemputan ke acara tertutup khusus untuk syarikat pembekal dan rakan kongsi amat membuatkan kami sekeluarga teruja. Ini adalah pengalaman saya yang tidak pernah lagi mengunjungi mana-mana taman tema antarabangsa di tempat lain (Universal Studio, Disneyland dan lain-lain) maka saya tidak dapat membandingkan pengalaman di Legoland dengan taman tema yang lain.

Legoland di seluruh dunia tidaklah dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pengeluar permainan Lego tetapi diusahakan oleh sebuah syarikat taman tema British iaitu Merlin Entertainment Group yang berpengkalan di Poole, United Kingdom. Mereka merupakan syarikat taman tema kedua terbesar di Eropah selepas Walt Disney dan produk mereka yang paling dikenali di dunia selain Legoland ialah Madame Tussauds yang mempamerkan patung lilin tokoh dan celebriti terkenal dunia. Mungkin selepas Legoland mungkin mereka mahu membawa Madame Tussauds  ke Malaysia juga, siapa tahu.

Legoland Malaysia merupakan yang keenam di dunia selepas Legoland Billund di Denmark, Legoland Windsor di England, Legoland Deutschland di Jerman, Legoland California dan Legoland Florida kedua-duanya di Amerika Syarikat. Legoland Malaysia adalah yang pertama seumpamanya yang dibina di tanah Asia dan dijangkakan selepas ini Legoland Dubai pula bakal menyusul tetapi ianya tertangguh buat sementara waktu. Legoland Malaysia terletak di Nusajaya, Johor merupakan sebahagian daripada perancangan besar kerajaan Johor dan pusat untuk menempatkan pusat pentadbiran dan tarikan ke Nusajaya di bawah pelan Wilayah Pembangunan Iskandar. Taman tema ini dibina di atas tanah seluas 5,500,000 kaki persegi dan selepas Legoland Malaysia, Taman Tema Air Legoland pula akan dibuka dijangkakan pada tahun 2013 dan Hotel Legoland bakal menyusul pada tahun 2014. Dikhabarkan kos pembinaan untuk dua taman tema Legoland bernilai RM 720 juta manakala RM 190 juta untuk Hotel Legoland.

Terdapat dua jenis tiket pas masuk yang dijual kepada para pengunjung iaitu tiket pas harian dan tiket pas tahunan. Pas harian berharga RM 140 untuk dewasa dan RM 110 untuk kanak-kanak berumur 3 - 11 tahun dan warga tua manakala untuk pas tahunan berharga RM 275 untuk dewasa dan RM 210 untuk kanak-kanak dan warga tua. Beza kedua pas ini ialah pas tahunan anda boleh mengunjungi taman tema ini tanpa had dalam tempoh satu tahun dan sememangnya ianya berbaloi jika anda mampu. Jika anda mahukan lebih penjimatan, pembelian melalui dalam talian ialah pilihan untuk anda dengan potongan yang diberikan sebanyak 25% tetapi untuk pas harian sahaja.

Terdapat tujuh tarikan tema yang disediakan buat pengunjung di Legoland Malaysia. Jika dilihat pada peta yang disediakan, mereka memasukkan pintu masuk mereka sebagai salah satu tarikan kerana ianya sememangnya menarik dengan gerbang Legoland yang menjadi mercu tanda di setiap Legoland di dunia disamping rekabentuk bangunan yang cantik sesuai dengan tema permainan Lego. Setelah anda selesai membeli tiket dan memulakan perjalanan di pintu masuk, terdapat juga kemudahan seperti loker jika anda ingin menyimpan barangan yang anda rasa tidak perlu dibawa. Terdapat mesin membeli token untuk loker di luar sebelum pintu masuk Legoland. Mereka juga menyediakan kedai serbaguna sekiranya anda ingin membeli keperluan atau bekalan seperti bateri untuk kamera, ingin menyewa stroller dan sebagainya. Bersebelahan dengan kedai serbaguna ialah kedai menjual barangan Lego dan cenderahati manakala diseberangnya ialah restoran jika anda ingin menjamu selera terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Untuk makluman anda, pintu masuk juga merupakan pintu keluar dari taman tema ini makanya selepas anda selesaikan pengembaraan anda di seluruh taman tema Legoland ini, anda akan tiba semula di restoran dan kedai barangan Legoland ini. Tarikan pertama ini diberi nama sebagai 'The Beginning' merujuk sebagai titik permulaan untuk anda memulakan pengembaraan anda di Legoland Malaysia.

Anda boleh memilih untuk bermula dari tiga tarikan tema selepas melepasi pintu masuk sama ada anda boleh terus ke Miniland, ke kanan untuk ke Lego City atau ke kiri untuk ke Lego Technic. Miniland merupakan tarikan yang membawa kita ke tempat-tempat dan bangunan-bangunan yang menarik di Malaysia dan di Asia yang dibina dengan menggunakan blok-blok Lego. Antara bangunan mercu tanda yang terdapat di Miniland termasuklah menara berkembar KLCC, Menara KL, bangunan-bangunan di Putrajaya, bangunan-bangunan di sekitar Johor Bahru, mercu tanda setiap negara Asia seperti Tanah Lot, Indonesia, Angkor Watt, Masjid di Brunei, bangunan Thailand, tembok besar China, bandar koboi dan pangkalan lanun, pelabuhan, Merlion di Singapura dan sebagainya. Setiap tempat yang dibina juga terdapat aksi interaktif yang bergerak seperti bas, monorail, kapal, pemain papan luncur, penari yang menari dan sebagainya. Di setiap tempat yan dibina terdapat satu tiang hijau beserta butang untuk pengunjung tekan dan melihat aksi interaktif yang disediakan. Tapi berhati-hati di Merlion, Singapura dan pastikan anda tidak memegang kamera anda sebelum anda menekan butang hijau disitu kerana dikhuatiri terkena semburan air dari mulut singa ke arah anda. Miniland merupakan tarikan tema kegemaran saya.

Jika anda menghala ke kanan dari pintu masuk, anda akan tiba ke Lego City. Disini mereka menyediakan tarikan tema yang berkaitan dengan kenderaan seperti Driving School untuk anak anda memandu kereta dan belajar undang-undang di jalan raya, Junior Driving School untuk anak anda di bawah 6 tahun memandu kereta sesuka hati, Boating School untuk anda sekeluarga memandu bot, Lego City Airport untuk anda sekeluarga bermain kapal terbang. Di Lego City Stage pula adalah dimana persembahan pentas yang dipersembahkan oleh pekerja Legoland dan ianya belum disediakan kepada pengunjung ketika lawatan percuma saya. Legoland Express ialah stesen keretapi untuk anda menaiki keretapi mengelilingi taman tema ini manakala The Shipyard adalah taman permainan sesuai untuk anda melepaskan penat sambil anak-anak anda bermain gelongsor yang disediakan atau anda boleh menjamah hidangan di restoran berhadapan dengan The Shipyard. Yang terakhir di Lego City dan juga antara kegemaran saya di tarikan tema ini ialah Rescue Academy. Di Rescue Academy anda sekeluarga akan menjadi pasukan penyelamat yang berusaha untuk memadam kebakaran. Anda dikehendaki mengerakkan kenderaan bomba atau polis yang anda naiki menuju ke lokasi kebakaran dan setelah tiba salah seorang anggota keluarga atau rakan perlu mengepam air dan yang lain akan mengacukan pancuran air ke arah api sehingga padam dan kemudian terus ke kenderaan anda dan pandu kembali ke tempat asal. Permainan ini memenatkan kerana untuk menggerakkan kenderaan anda perlu mengepam beramai-ramai untuk menggerakkannya tapi menyeronokkan dan anda perlu berlumba dengan pengunjung yang lain.

Dari pintu masuk, jika anda membuat keputusan untuk memulakan perjalanan ke kiri terlebih dahulu, anda akan tiba di Lego Technic.Antara tarikan disini ialah Lego Academy dan Lego Mindstorm dimana ianya di tempatkan di dalam satu bangunan yang sama. Lego Academy adalah untuk kanak-kanak yang kecil dimana mereka perlu membina satu model Lego berdasarkan arahan mudah yang diberikan sama seperti permainan Lego yang kita beli di pasaraya cuma saiz bloknya yang lebih besar khas untuk taman tema ini. Manakala Lego Mindstorm khusus untuk kanak-kanak yang lebih besar saya jangkakan sekurang-kurangnya untuk sekolah rendah dimana mereka akan menghadiri satu kelas mengikut jadual yang disediakan dan mereka akan belajar untuk membina model Lego dengan menggabungkan dengan peralatan wayar elektronik semestinya lebih mencabar minda anak anda. Untuk Lego Mindstorm anak anda perlu mebdaftar terlebih dahulu di kaunter Lego Academy kerana tempat adalah terhad di dalam sesebuah kelas. Anda sudah membayar mahal untuk masuk ke taman tema ini, aktiviti ini adalah satu yang tidak boleh anda lepaskan terutamanya untuk anak anda. Project X pula adalah permainan khusus untuk orang dewasa. saya bukan penggemar roller coaster maka saya tidak mencuba Project X tetapi jika anda gemar menaiki roller coaster maka ini adalah permainan untuk anda. Aquazone Wave Racer adalah permainan yang lebih ringan untuk dicuba tetapi ia membuatkan anda basah. Permainan ini di atas air dimana ianya akan berpusing dan penonton di luar boleh menembak anda menggunakan senjata air yang disediakan. Pada saya ianya menyeronokkan. Technic Twister pula adalah permainan santai yang biasa kita naiki di Sunway Lagoon atau di Genting Highland cuma kebiasaanya ianya berbentuk cawan tapi di sini ianya bentuk model Lego.

Tarikan tema seterusnya ialah Lego Kingdoms yang direka mengikut era King Arthur, Robin Hood, Merlin dengan binaan bangunan seperti istana eropah lama, naga, askar baju besi dan sebagainya. Disini letaknya permainan Legoland yang paling terkenal iaitu roller coaster yang dipanggil The Dragon. Maaf saya tak sukakan permainan ala roller coaster maka saya tidak dapat menceritakan pengalaman menaikinya tapi terdapat juga satu permainan yang lebih ringan iaitu Dragon's Apprentice dan ianya juga sesuai untuk anak anda. Selain itu ada juga Royal Joust iaitu permainan menunggang kuda untuk kanak-kanak, mereka pasti sukakan permainan ini dan jika ingin berehat anda boleh ke The Forestmen's Hideout untuk anda duduk sambil anak anda bermain di taman permainan. Terdapat juga gerai menjual makanan di sini yang menghidangkan makanan barat yang enak dan panas dan juga kedai cenderamata yang mengikut tema zaman tersebut. Mereka juga menyediakan persembahan pentas di Castle Stage dan permainan yang tidak disediakan untuk pengunjung percuma iaitu Merlin's Challenge.

Seterusnya tarikan tema yang diberi nama Imagination.Tarikan yang paling saya sukai disini ialah Lego Studios yang menayangkan tayangan filem 4D. Macam mana pengalaman menonton 4D? Maaf saya sendiri tidak dapat merasainya kerana barisan menunggu yang sangat panjang. Hehe... saya memberikan tips kepada anda, jika anda masuk dari awal waktu taman tema ini dibuka, sebaiknya anda terus ke Lego Studios dan jadilah mereka yang terawal menonton kerana dikhuatiri jika anda mengunjungi tarikan tema yang lain terlebih dahulu, anda mungkin terpaksa menunggu lama untuk merasai pengalaman menonton di panggung 4D ini seperti saya. Terdapat 3 filem yang ditayangkan di pawagam ini dan jika saya menjadi anda, saya akan cuba untuk menonton ketiga-tiganya barulah saya kunjungi tarikan yang lain selepas itu. Di Imagination terdapat taman permainan yang paling menarik berbanding dengan tarikan tema yang lain yang dinamakan DUPLO Playtown. Terdapat DUPLO Express di dalamnya iaitu keretapi yang lebih kecil khusus untuk anak-anak anda. Di Imagination jugalah terdapat tarikan yang paling tinggi di taman tema ini iaitu Observation Tower juga malangnya ianya tidak dbuka ketika kunjungan percuma saya. Bersebelahan dengan Lego Studio terdapat satu bangunan yang besar untuk permainan Build & Test. Anda boleh bermain sekeluarga dimana disitu disediakan pelbagai bentuk blok lego untuk anda bina menjadi sebuah kereta atau apa jua kenderaan yang anda imaginasikan dan setelah siap, anda boleh berlumba beramai-ramai menggunakan litar automatik yang disediakan. Bertentangan dengan bangunan Build & Test ialah satu lagi permainan yang menarik iaitu Kids Power Tower iaitu anda berpasangan dengan anak anda untuk menarik kerusi anda ke atas sambil berlumba dengan pengunjung lain. Permainan ini juga menjadi tumpuan menyebabkan saya tidak dapat menaikinya disamping kepenatan selepas 3 suku kawasan telah kami sekeluarga terokai. Di sini juga terdapat surau, restoran dan juga bilik untuk anda menyusukan bayi.

Tarikan tema yang terakhir di Legoland Malaysia yang ingin saya kongsikan ialah Land Adventure yang menggunakan tema zaman Firaun di Mesir dan zaman purba dinasor. Di sini satu permainan yang menarik perhatian saya ialah Lost Kingdom. Anda sekeluarga boleh menaiki satu keretapi dan terdapat pistol di keretapi tersebut untuk anda tembak pada mana-mana watak yang terdapat lampu merah. Jika anda tepat menembak pada sasaran anda akan mendapat markah. Selesai permainan markah akan dikira dan lihat siapa dikalangan keluarga anda mendapat markah tertinggi. Seronok dan menarik. Bersebelahan dengan Lost Kingdom ialah Beetle Bounce yang seakan-akan permainan Solero Shot di taman tema Genting tapi ianya lebih rendah kerana mahu kanak-kanak merasai keseronokannya. Berhadapan dengan Lost Kingdom pula terdapat Pharaoh's Revenge yang khusus untuk anak anda bermain senapang tekanan angin dengan bola lembut sebagai pelurunya. Kawasan permainan ini agak sempit dan sekiranya terdapat ramai kanak-kanak yang bermain ketika itu ada baiknya ibu-bapa tunggu diluar sahaja. Untuk permainan di zaman dinasor pula terdapat Dino Island tetapi maaf saya tidak dapat menceritakan apa yang terdapat di situ kerana ianya belum dibuka pada ketika kunjungan saya.

Habis kesemua tema tarikan yang sempat saya kunjungi walaupun ada yang masih belum dibuka pada ketika lawatan kami sekeluarga, ianya tetap memberikan satu pengalaman yang menyeronokkan di dalam sebuah taman tema antarabangsa. Waktu lawatan untuk kami pada ketika itu dari 12 tengah hari sehingga 8 malam dan pada mulanya saya jangkakan kami akan selesai melawat setiap tempat dengan kadar tempoh 3 - 4 jam sahaja, tetapi ternyata ianya meleset dan kami keluar pada waktu taman tema ini ditutup iaitu pukul 8 malam. Faktor beratur di dalam barisan menunggu giliran, faktor keluasan taman tema, faktor tenaga diri sendiri, semuanya diambil kira dalam menentukan tempoh berapa lama anda akan berada di dalam Legoland Malaysia ini.

Antara tips yang mampu saya berikan kepada anda semua:
1. Bawa air masak / mineral dengan kuantiti banyak jika anda bermula dari pagi atau tengah hari kerana jika cuaca panas, anda akan rasa cepat haus. Makanan tidak dibenarkan dibawa masuk kedalam, pekerja mereka akan meminta untuk anda membuka beg yang anda bawa sebelum anda masuk dan juga selepas anda melepas pintu masuk.

2. Bawa payung untuk anda berlindung dari cuaca panas mahupun hujan

3. Bawa duit yang mencukupi untuk membeli makanan kerana anda pasti akan lapar kerana anda berada lama di dalam taman tema ini dan juga untuk membeli air sekiranya air yang anda bekal kehabisan. Sekiranya anda membawa anak anda, mereka pasti akan meminta cenderahati seperti permainan Lego atau pedang, mahkota, baju dan sebagainya dan harga kesemuanya bukan murah.

4. Selepas pintu masuk, sebaik-baiknya mulakan tarikan tema di sebelah kiri dahulu dan terus menuju ke Lego Studios untuk menonton tayangan filem 4D untuk mengelakkan barisan panjang di sebelah petang.

5. Bawa stroller bukan sahaja untuk membawa anak anda jika anda tak larat nak mendukung mereka sepanjang perjalanan, tetapi juga untuk membawa barang-barang, minuman dan makanan yang anda beli nanti.

6. Ada beberapa tempat yang akan menyembur air kepada anda dan ini berbahaya kepada peralatan elektronik yang anda bawa terutamanya kamera DSLR anda yang mahal. Setakat yang saya tahu terdapat tiga tempat iaitu di Miniland di kawasan Merlion, Singapura, ketika anda menaiki bot di Boat School di kawasan terdapat watak lego tikus dan di permainan Aquazone Wave Racer di Lego Technic, anda dinasihatkan jangan berada berdekatan dengan pagar permainan tersebut kerana air akan memercik di mana-mana.

Kemudahan yang disediakan pula antaranya ialah dua buah surau satu di pintu masuk dan satu di tengah-tengah perjalanan iaitu di tarikan tema Imagination, mesin ATM di luar sebelum masuk ke taman tema dan juga di dalam taman tema, mesin membeli token loker, mesin pengering baju dan badan, restoran dan tandas di setiap tarikan tema, tandas mencukupi, kerusi untuk berehat dan kedai cenderahati. Berhadapan dengan pintu masuk Legoland juga ada disediakan satu bangunan lengkap dengan kedai makanan segera dan kedai barangan berjenama jika ingin membeli belah. Kemudahan tempat letak kereta juga agak besar dan berdasarkan pemerhatian saya terdapat dua tempat letak kenderaan satu di tepi pintu masuk ke Legoland dan satu lagi bersebelahan dengan bangunan tempat makan dan kedai membeli belah.

Taman tema Legoland Malaysia sememangnya satu lagi destinasi pelancongan terbaru untuk menarik pelancong datang mengunjungi negara kita terutamanya dari negara jiran dan diharap ianya dapat menyumbang pembangan ekonomi negara disamping mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Jom kita sebagai rakyat Malaysia menyokong taman tema antarabangsa yang pertama di negara kita paling tidak sekali seumur hidup kita kunjungi taman tema ini dan jadi duta kecil dan ceritakan kepada rakan-rakan terutamanya dari negara lain.